PETALING JAYA – Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang diramal melanda beberapa kawasan di sembilan negeri sehingga pukul 8 malam ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan berkata, cuaca tidak menentu itu antaranya melibatkan seluruh Negeri Sembilan dan Melaka.
“Perak melibatkan kawasan Batang Padang dan Muallim, manakala Kelantan di Jeli sementara Terengganu di Besut.
“Pahang di Tanah Tinggi Cameron, Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Bera dan Rompin. Selangor di Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut MetMalaysia, ribut petir dan hujan lebat turut diramalkan berlaku di Johor membabitkan kawasan Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Kluang.
“Beralih ke negeri Sarawak pula, kawasan yang terjejas di Kuching (Bau dan Kuching), Serian, Sri Aman, Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong) dan Sibu,” kata kenyataan itu.
Jelas MetMalaysia, amaran tersebut dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.
“Amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran,” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE