NAMA Tan Cheng Hoe sekali lagi ‘timbul’ dan dikatakan menjadi antara salah satu calon yang bakal dipertimbangkan untuk mengisi jawatan ditinggalkan oleh Risto Vidakovic di Melaka United.
Hakikatnya, ini bukan kali pertama kerana di awal musim lalu nama bekas pengendali Harimau Malaya itu dikaitkan bakal ‘bawa diri’ ke Melaka United selepas bertindak meletakkan jawatan ekoran kegagalan skuad negara pada Piala AFF Suzuki, hujung tahun lalu.
Daripada apa yang diperkatakan oleh pemilik MUFC, Datuk Seri Justin Lim, pasukan itu kini sedang mengintai beberapa calon terbaik untuk menggantikan Vidakovic yang ditamatkan kontrak.
“Sudah kenal pasti calon bagi isi jawatan tersebut dan kita akan umumkan awal minggu depan. Jurulatih itu miliki pengalaman dan faham tentang saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Mungkin jurulatih tempatan, mungkin jurulatih asing. Jadi tunggulah kita akan umumkan awal minggu depan,” katanya.
Vidakovic yang dilamar Melaka United hanya sempat berkhidmat menabur khidmat dalam empat perlawanan awal Liga Super dan hanya mampu raih satu mata hasil keputusan seri 1-1 dengan Penang 8 Mac lalu, manakala selebihnya berakhir dengan kekalahan.
Buat ketika ini, penolong ketua jurulatih, Mohd. Asri Ninggal akan menggalas tugas pengendali pasukan bagi menghadapi Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, esok.
Jika berita yang mengaitkan Cheng Hoe menjadi realiti, ia dilihat sebagai keputusan baik memandangkan jurulatih itu sarat dengan pengalaman tidak kira di pentas domestik mahu pun antarabangsa.