PETALING JAYA – Individu yang mempunyai masalah pedih ulu hati atau gerd dinasihatkan untuk makan makanan yang direbus atau panggang bagi mengelakkan asid perut naik ke tekak seterusnya menjalani ibadah berpuasa dengan selesa.
Tips itu dikongsi di laman Facebook Public Health Malaysia yang menyarankan pesakit memakan ayam atau ikan bagi mengelakkan masalah asid refluks berlebihan dalam badan.
Katanya, pesakit digalakkan meminum air putih dan elak mengambil air bergula, teh dan kafein kerana ia akan memburukkan lagi keadaan.
“Makan pisang, tembikai dan betik dan nasi beras perang kerana ia bagus untuk pencernaan. Pengambilan oat juga akan membuatkan perut bertahan lama.
“Gunakan minyak zaitun ketika memasak kerana ia melancarkan sistem penghadaman dan membantu menurunkan berat badan. Makan juga salad,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut kenyataan itu, amalan pemakanan sihat dan seimbang dapat menangani masalah gerd dan pesakit disarankan berjumpa doktor jika masalah pedih ulu hati bertambah teruk. – KOSMO! ONLINE