SUNGAI BULOH – Maki serta menghina rakan serumah ketika mabuk menjadi punca seorang lelaki warga Myanmar maut dibunuh dalam kejadian di Jalan Industri berhampiran kilang tilam, di sini awal bulan ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 5.30 petang sebelum menjalankan tiga serbuan berasingan di sekitar Selangor.
“Hasil serbuan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh telah berjaya memberkas enam lelaki warga Myanmar berusia 20 hingga 35 tahun bagi membantu siasatan.
“Siasatan lanjut mendapati dua suspek mengaku membunuh mangsa yang berusia 28 tahun itu menggunakan pisau dan pemutar skru,” katanya ketika sidang akhbar di IPD Sungai Buloh hari ini.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar serta Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib.
Mengulas lanjut, polis turut merampas sebilah pisau berwarna silver serta sebatang pemutar skru mata bunga.
Jelasnya, kesemua suspek tiada rekod jenayah dan telah ditahan reman selama 14 hari sehingga Ahad ini.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dengan niat. – KOSMO! ONLINE