KLANG – Seorang pejalan kaki yang tular menghilangkan diri selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Goh Hock Huat di sini, minggu lalu, diberkas polis hari ini.
Lelaki warga Myanmar berusia 25 tahun itu ditahan di tempat kerjanya di Jalan Shapadu Rantau Panjang di sini, kira-kira pukul 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, penahanan itu dilakukan sepasukan polis menerusi hasil maklumat mengenai suspek.
Katanya, siasatan awal setakat ini mendapati lelaki itu tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan.
“Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan polis sedang mengesan seorang pejalan kaki lelaki yang menghilangkan diri selepas terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Goh Hock Huat di sini, minggu lalu. -KOSMO!ONLINE