LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp mengakui bertanggungjawab selepas menyaksikan pasukannya berdepan situasi getir ketika diikat 3-3 oleh Benfica pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Anfield awal pagi semalam.
Tujuh pertukaran yang dilakukan dalam senarai ksebelasan utama seakan menghilangkan aura The Reds dan Klopp begitu terkejut dengan kebangkitan Benfica, namun lega apabila mereka berjaya mengekalkan kelebihan untuk mara dengan agregat 6-4.
“Benfica cukup kuat dan ia begitu menyukarkan. Saya melakukan tujuh pertukaran dan pemain di barisan belakang tidak pernah bermain seperti ini. Keputusan ini dibuat semalam (kelmarin), malah kami hanya ada 15 ke 20 minit untuk memastikan segalanya sempurna.
“Satu-satunya masalah apabila kami hilang bola dan gagal membuat kawalan dengan lebih baik. Apabila kamu berada di peringkat suku akhir, ia sepatutnya menjurus kepada ketelitian, tetapi saya tersilap kerana melakukan tujuh pertukaran tersebut.
“Cukup baik untuk layak ke separuh akhir. Tetapi, saya tahu kita akan bercakap tentang perlawanan ini, bagaimana ia berlaku dan juga cara kami melepaskan gol,” katanya.
Di separuh akhir, The Reds dijadualkan bertemu Villarreal yang menumpaskan gergasi Jerman, Bayern Munich dan kapten Liverpool, Jordan Henderson juga turut senada dengan apa yang diperkatakan oleh Klopp.
Henderson menegaskan, apa yang berlaku dalam perlawanan dengan Benfica membuktikan lagi yang masih banyak kerja rumah perlu dilakukan bagi memastikan pasukan berada dalam keadaan lebih bersedia.
“Saya fikir kami mahu buat lebih baik. Kami memulakan perlawanan dengan baik dan sepatutnya di babak pertama kami mampu menjaringkan satu atau dua gol lagi. Cara kami melepaskan gol juga agak mengecewakan,” jelasnya. – AGENSI