MOSCOW – Kapal perang utama Rusia di Laut Hitam dilaporkan rosak teruk dan mungkin tenggelam selepas Ukraine mendakwa menembaknya dengan menggunakan peluru berpandu kruz, lapor akhbar Daily Mail, semalam.
Moskva yang merupakan kruzer peluru berpandu kelas Slava era Kesatuan Soviet, diserang menggunakan dua peluru Neptune yang dilancarkan oleh unit artileri pantai di luar pantai Odesa petang kelmarin, demikian menurut kerajaan Ukraine.
Moscow mengakui terdapat kebakaran di atas kapal itu dengan media rasmi berkata, 510 anak kapalnya telah dipindahkan apabila peluru meletup dan menyebabkan kapal itu rosak teruk.
Bagaimanapun, Kremlin enggan mendedahkan punca kebakaran, sebaliknya hanya mengatakan bahawa insiden itu sedang disiasat.
Menurut beberapa sumber , kapal itu telah dua kali terkena bedilan peluru berpandu dan karam.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut dinafikan oleh Kementerian Pertahanan Rusia dan menegaskan bahawa Moskva masih terapung di permukaan laut.
Penasihat Kementerian Pertahanan Ukraine, Anton Gerashchenko, menambah beratus-ratus kelasi mungkin terbunuh dalam letupan itu.
Jika berita tersebut disahkan, kehilangan Moskva akan menjadikan satu-satunya serangan Ukraine ke atas Rusia yang melibatkan korban terbesar Moscow selain memusnahkan salah satu kapal perang terbesar sejak Perang Dunia Kedua berakhir.
Ukraine dan Rusia tidak memberikan sebarang kenyataan rasmi mengenai apa sebenarnya yang berlaku kepada Moskva walaupun sumber-sumber telah memberikan butiran terperinci kepada media.
Menurut mereka, Moskva sedang belayar di Laut Hitam antara bandar pelabuhan Ukraine Odesa dan Mykolaiv apabila menjadi sasaran pada petang kelmarin.
Ukraine dilaporkan menggunakan dron Bayraktar buatan Turki untuk mengalih perhatian pertahanan peluru berpandu kapal itu, membolehkan dua peluru berpandu Neptun ditembak oleh unit artileri pantai. – Agensi