fbpx

Harga tiket bergantung permintaan, ketersediaan tempat duduk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Harga tiket penerbangan bersifat dinamik dan akan bergantung kepada tarikh, masa dan ketersediaan tempat duduk pada satu-satu masa.

Malaysia Airlines dalam satu kenyataan kepada Kosmo! berkata, syarikat penerbangan melaksanakan penetapan harga yang dinamik, bergantung kepada bekalan dan permintaan.

“Kami sedang merekodkan muatan yang amat memberangsangkan terutamanya bagi tempoh puncak sempena Hari Raya, yang memperlihatkan peningkatan ketara pada tempahan penerbangan berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Kami akan terus memantau keadaan dan menambah kapasiti bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat,” ujarnya.

Pada masa sama, Malaysia Airlines menggalakkan orang ramai merancang perjalanan masing-masing dan mengambil peluang ke atas pelbagai tawaran promosi dan diskaun yang disediakan dari semasa ke semasa. 

“Kesemua anak syarikat penerbangan di bawah Malaysia Aviation Group (MAG) akan sentiasa menawarkan promosi menarik untuk pelanggan supaya mereka dapat menikmati perkhidmatan Malaysian Hospitality sepanjang perjalanan dengan tambang menarik dan perjalanan yang lancar,” ujarnya.

Tambahnya, dalam penyertaan Malaysia Airlines di MATTA Fair 2022 baru-baru ini, pihaknya menawarkan diskaun sehingga 45 peratus untuk tambang ke destinasi domestik dan antarabangsa terpilih, manakala Firefly turut memberi diskaun sehingga 50 peratus kepada pelanggan yang membeli menerusi aplikasi dan web mobil Firefly. 

“Malaysia Airlines telah melanjutkan tawaran ini secara dalam talian sehingga 17 April 2022 bagi memudahkan pelanggan untuk terus merancang percutian dan membeli tambang dengan harga yang berpatutan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Riad Asmat ketika menjawab soalan pemberita dalam satu majlis di RedQ, Sepang kelmarin turut memberi jawapan seakan sama bagi mengulas kenaikan harga tiket penerbangan ke Sabah dan Sarawak.

Jelasnya, syarikat penerbangan tambang murah itu sentiasa melaksanakan kadar harga yang dinamik dan menggalakkan pelanggan menempah tiket awal untuk mendapatkan harga terbaik. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI