PETALING JAYA – Seorang doktor berkongsi petua bagi mengelakkan tangan menjadi pijar selepas memegang cili.
Perkongsian Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan di media sosial itu mendapat perhatian orang ramai terutamanya golongan wanita yang tidak sabar mencuba petua tersebut.
Menurutnya, tangan menjadi pijar selepas memegang cili kerana ia mengandungi capsaicin yang akan merangsang reseptor deria sakit.
“Kalau terkena kulit, kita akan rasa pijar. Kalau terkena lidah kita akan rasa pedas.
“Capsaicin ini tidak larut air, kalau kita cuci tangan dengan air sahaja ia sukar ditanggalkan dari kulit kita,” katanya di media sosial hari ini.
Kata Kamarul Ariffin, capsaicin tersebut boleh larut dalam minyak atau lemak.
“Orang ramai boleh menggunakan susu berlemak yang mengandungi sejenis protin dipanggil casein yang akan memutuskan ikatan antara capsaicin dengan reseptor di kulit. Selepas cuci dengan susu, bilas dengan air sabun.
“Seterusnya, menggunakan minyak yang akan mencairkan capsaicin dan perlu dibilas dengan air sabun. Petua ketiga ialah cuka, ia bersifat alkali yang boleh meneutralkan kesan pijar. Boleh juga gunakan air asam, perahan limau atau sos tomato.
“Alkohol juga boleh digunakan, jadi, orang ramai boleh gunakan cecair pembasmi kuman berasaskan alkohol. Terakhir sekali ialah losyen berasaskan minyak untuk melarutkan capsaicin disusuli dengan bilasan air sabun untuk membuang losyen yang telah dicemari capsaicin tersebut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE