fbpx

Curi puluhan lori, Geng Esvaran tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunaidi menunjukkan komponen kenderaan yang telah dileraikan sindiket curi lori di sekitar Selangor.

SUNGAI BULOH – Sindiket curi lori Geng Esvaran didalangi seorang pemilik bengkel sehingga menyebabkan kerugian RM605,000 di sekitar Selangor berjaya ditumpaskan awal bulan ini.

Difahamkan, sindiket terbabit bertindak mencuri lori untuk meleraikan komponen kenderaan itu termasuk mengubahsuai nombor casis dan nombor enjin sebelum dijual.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menahan 10 individu menerusi tiga serbuan berasingan di Plaza Tol Senawang arah Kuala Lumpur serta Tongkang Pecah dan Jalan Kluang di Batu Pahat, Johor pada 5 hingga 10 April lalu.

“Kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki termasuk dalang iaitu pemilik bengkel berusia 47 tahun dan lelaki warga Bangladesh serta wanita berusia lingkungan 28 hingga 62 tahun.

“Hasil tangkapan kita turut merampas sebuah lori, 20 lori dalam keadaan tidak sempurna, sembilan enjin serta 11 komponen lori dianggarkan bernilai RM605,000,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharuddin Mat Taib dan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Arjunaidi memaklumkan sindiket terbabit telah aktif sejak tahun lalu dan menyasarkan lori yang diparkir di tepi jalan sekitar Selangor.

Jelasnya, suspek menerima bayaran upah antara RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap penghantaran bergantung kepada saiz serta nilai lori yang dicuri.

“Hasil semakan mendapati empat suspek termasuk dalang utama mempunyai rekod jenayah serta dadah manakala suspek selebihnya tiada rekod lampau.

“Kesemua suspek telah ditahan reman sehingga 18 April ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan,” ujarnya lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI