MADRID – Kemaraan Manchester City ke separuh akhir Liga Juara-Juara terpaksa dibayar dengan harga yang mahal apabila dipalit masalah kecederaan pemain yang dialami ketika aksi suku akhir kedua menentang Atletico Madrid di Wanda Metropolitano awal pagi semalam.
The Citizens layak ke kelompok empat terbaik Liga Juara-Juara menerusi kemenangan tipis 1-0 secara agregat hasil kemenangan yang diraih ketika perlawanan pertama di Etihad 6 April lalu.
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui pasukannya berdepan masalah besar apabila kehilangan Kevin De Bruyne dan Kyle Walker yang mengalami kecederaan pada separuh masa kedua.
Selain tugas getir menanti berdepan satu lagi kelab Sepanyol, Real Madrid, situasi ini meletakkan Guardiola dalam situasi sukar terutamanya untuk menghadapi Liverpool di separuh akhir Piala FA malam esok.
“Kami berada dalam masalah besar. Tiga hari lalu kami bermain dalam perlawanan sukar menentang Liverpool, kemudiannya terpaksa melalui perjalanan ke sini (Sepanyol) dan sekarang kami ada ramai pemain cedera.
“Saya tidak pasti apa yang akan berlaku dalam minggu-minggu akan datang, tetapi kami akan meraih kejayaan ke separuh akhir buat kali ketiga dalam sejarah ini di ‘rumah sendiri’.
“Bagi kami, ini adalah kejayaan besar dan kami begitu gembira untuk melakukannya,” katanya. – AGENSI