KUALA LUMPUR – Semangat mewakili negara ke World Championship of Performing Arts (WCOPA) di Amerika Syarikat (AS) pada Julai depan membuatkan penyanyi Pija Yasin sanggup menebalkan muka mencari tajaan.
Kata Pija, dia sanggup menerjah pejabat kerajaan dan syarikat korporat bagi mengumpul dana berjumlah RM25,000 untuk menyertai pertandingan tersebut.
Kata Juara Mentor musim pertama itu, dia perlu bekerja keras mencari tajaan bagi menjelaskan bayaran pendahuluan ke Disneyland, California sebelum tarikh tutup pendaftaran yang dijadualkan bulan depan.
“Saya bersyukur apabila dipilih mewakili Malaysia untuk beraksi di pentas global bersama beberapa rakan seperjuangan lain dari pelbagai kategori.
“Memang agak sukar jika tiada dana, namun saya tidak akan menyerah kalah sebaliknya selagi ada kudrat saya akan menghantar kertas cadangan kepada beberapa kementerian berkaitan serta korporat.
“Bagi saya bidang seni juga sama penting seperti sukan dan arena lain yang bertarung membawa nama negara terutama dalam pertandingan membabitkan wakil banyak negara.
“Bukan tiada wang simpanan, tetapi tidak mencukupi untuk menampung kos sepanjang berada di sana kerana semuanya atas tanggungan peserta sendiri termasuk penginapan, tiket penerbangan serta makan minum.
“Sudah tentu saya pun tak kisah naik turun pejabat kerajaan dan syarikat bagi mencari tajaan sekali gus merealisasikan azam mengharunkan nama negara,” katanya kepada Kosmo! Online.
Bagi WCOPA edisi ke-25, Pija atau nama sebenarnya Norafizah Mohd. Yasin, 33, bakal bersaing dalam kategori vokal senior bawah tiga genre muzik iaitu Broadway, jazz dan R&B soul.
Selain penyanyi kelahiran Sabah itu, peserta lain ialah Thalia, Ashira, Erul Samah dan tidak ketinggalan adiknya, Rizwan Yasin atau Juicy yang juga bertanding dalam kategori Vokal Senior.
Sementara itu, ditanya sama ada misi mencari tajaan itu berjaya, katanya dua pihak ‘mendengar’ permohonannya iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebanyak RM5,000.
Malah, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin turut menyalurkan jumlah sama.
Pija juga dalam perancangan untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen Kinabatangan, Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bagi menyerahkan surat permohonan tajaan.
“Susah sebenarnya hendak cari dana dan tajaan namun saya pohon supaya kementerian, persatuan atau badan berkaitan dengan golongan seni dapat memberikan sokongan kewangan dalam situasi seperti ini.
“Buat masa ini tumpuan saya memang mencari penaja dan pada masa sama tetap asah vokal bagi persediaan ke arah pertandingan itu yang disertai ramai peserta negara lain.
“Sekarang saya sudah kembali ke Kuala Lumpur untuk persediaan sejak awal tahun dan berharap pengorbanan meninggalkan tiga anak bawah jagaan suami dan ibu mentua buat seketika di Kota Kinabalu, berbaloi.
“Sudah tentu saya tidak akan siakan peluang apatah lagi terpilih selepas hampir 10 tahun dikatakan menyepi dari industri hiburan,” katanya. – KOSMO! ONLINE