BERA – Penduduk sekitar Felda Triang 3 di sini yang sedang menyiapkan juadah berbuka puasa semalam dikejutkan dengan kejadian ribut yang merosakkan rumah dan harta benda.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu menyaksikan hujan lebat beserta ribut menyebabkan tiga buah rumah rosak selepas bumbung diterbangkan angin.
Seorang penduduk, Nor Azlinda Abu Kassim, 37, berkata, semasa kejadian dia sedang berehat sambil bersiap-siap untuk menyediakan juadah berbuka puasa.
Menurutnya, hujan lebat berserta angin kuat itu menyebabkan bumbung di bahagian bilik tidur utama tercabut dan tercampak menghempap bumbung garaj.
“Kejadian itu berlaku terlalu cepat, sedar-sedar bumbung sudah tercabut dan menghempap garaj kereta, nasib baik kami semua selamat dan tidak mengalami kecederaan.
“Nasib baik juga ada sebuah bilik yang tidak terjejas dan kami sama-sama tidur di bilik itu malam semalam dalam keadaan bimbang kejadian ribut berlaku lagi,”katanya di sini hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penduduk Felda Triang 3, Azrul Ismail,33, berkata, ini merupakan kejadian ribut kali kedua menimpanya selepas kejadian sama pada 2018.
“Bila tengok keadaan cuaca semalam, saya tangguh untuk keluar rumah kerana bimbang perkara buruk berlaku dan betul tekaan saya, sekejap sahaja lepas hujan lebat, angin kuat datang memusing-musing.
“Kali ini kena lagi tetapi mujurlah hanya bumbung bengkel sahaja tercabut, bumbung rumah selamat walaupun kena hempap dengan bumbung bengkel,”katanya. – KOSMO! ONLINE