PUTRAJAYA – Jangkitan Covid-19 semalam mencatatkan sebanyak 10,413 kes termasuk 27 kes import, menjadikan jumlah keseluruhan kes di Malaysia sebanyak 4,363,024 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes sembuh pula merekodkan 13,202 kes dengan jumlah kumulatif sebanyak 4,209,858 kes.
“Mengikut pecahan kes harian semalam, kategori satu sebanyak 5,926 kes (56.91 peratus), kategori dua sebanyak 4,435 kes (42.59 peratus), kategori tiga sebanyak 24 kes (0.23 peratus), kategori empat sebanyak 11 kes (0.11 peratus) dan kategori lima 17 kes (0.16 peratus).
“Dalam masa sama, daripada 52 kes kategori tiga, empat dan lima, 16 kes (30.77 peratus) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi, 11 kes (21.15 peratus) telah menerima dua dos vaksin Covid-19 tetapi belum menerima dos penggalak dan 25 kes (48.08 peratus) telah menerima dos penggalak.
“Selain itu, 24 kes (46.15 peratus) berumur 60 tahun dan ke atas dan 22 kes (42.31 peratus) mempunyai komorbid,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, sebanyak 154 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala, 89 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Sementara itu, terdapat 18 kes kematian Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kematian terkini sebanyak 35,381 kes serta sebanyak lima kes meninggal dunia di luar hospital atau brought in death (BID) dengan jumlah kes BID sebanyak 7,473 kes. -KOSMO! ONLINE