PETALING JAYA – Tertib Publishing mahu menjadi peneraju bahan bacaan Islamik, pengetahuan dan inspirasi dalam bahasa Inggeris selain komited untuk membantu menggalakkan lagi pertumbuhan dalam industri penerbitan buku di negara ini.
Pengasas syarikat, Khairul Amar Razali berkata, buat masa ini, sebanyak 51 judul buku diterbitkan merangkumi pelbagai pecahan bacaan untuk dewasa dan juga kanak-kanak.
“Terdapat persaingan yang sengit dalam dunia penerbitan masa kini, jadi saya perlu mencari kelainan dengan menerbitkan bacaan dalam bahasa Inggeris. Jadi kami mahu menjadi penerbit bahan bacaan Islamik berbahasa Inggeris yang dicari ramai.
“Ini kerana sudah banyak penerbitan bacaan bahasa Melayu di pasaran,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Khairul Amar menerangkan, disebalik pandemik yang turut memberi kesan kepada industri penerbitan namun, syarikatnya yang berpangkalan di Subang Jaya masih memperoleh ruang untuk mengukuhkan operasinya.
“Dalam tempoh sukar itu, permintaan terhadap bahan bacaan telah meningkat sehingga pekerja yang hanya asalnya dua orang telah bertambah kepada 13 orang.
“Permintaan itu membuka ruang mengeksport buku ke luar negara termasuk Singapura, Australia, United Kingdom, Amerika Syarika dan Kanada.
“Kami tidak mahu terburu-buru sebab fokus kami adalah di pasaran domestik terlebih dahulu,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE