fbpx

Ramai rosak sebab salah pilih kawan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GEJALA sosial dalam kalangan remaja ketika ini semakin membimbangkan. - Gambar Hiasan
SAIRUL ZAMRI MISRANI
WARTAWAN EKSEKUTIF

SETIAP daripada kita yang kini bergelar dewasa pasti pernah melalui satu fasa yang dinamakan remaja.

Tidak dinafikan, fasa itulah menjadi antara salah satu tempoh masa yang akan menentukan masa depan dan membentuk keperibadian seseorang.

Ramai juga yang berkata, ketika fasa itu jugalah semua perkara ingin dilakukan dek kerana ke­ghairahan jiwa muda bernama remaja.

Ya semua perkara termasuk benda-benda yang dirasakan seronok walaupun menjurus kepada perkara-perkara negatif yang mungkin boleh menjahanamkan diri.

Tidak perlu diberikan contoh ataupun perumpamaan, cukup sahaja perbuatan-perbuatan dan kelakuan kecil yang boleh mendorong kita untuk melakukan sesuatu perkara sama ada baik atau buruk.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Roseliza Murni Ab. Rahman, kemenjadian seseorang anak muda amat berkait rapat dengan siapa yang ada di sekeliling mereka.

Katanya, kebiasaan anak-anak muda terutama pelajar sekolah dan remaja lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan seusia dan berkongsi apa sahaja sesama mereka.

“Seseorang anak muda itu tidak kira pelajar mahupun sebaliknya, mereka lebih banyak menghabiskan masa bersama rakan-rakan sebaya berbanding keluarga sendiri.

“Justeru, sedikit sebanyak faktor yang mempengaruhi perwatakan dan pembawaan diri seseorang itu adalah dengan siapa mereka bertemu dan berkawan.

“Dalam bahasa mudahnya, jika silap memilih kawan, kebarangkalian untuk seseorang remaja itu menjadi seperti rakannya itu amat tinggi,” katanya.

Tambah Roseliza Murni, jika kita berkawan dengan mereka yang baik budi pekerti, maka begitulah yang akan membentuk acuan diri kita dan sebaliknya.

Perkara tersebut turut pernah dilalui sendiri pelakon cantik, Chacha Maembong yang menga­kui terlalu banyak mensia-siakan usia mudanya sebelum ini.

Kata Chacha ketika ditemui baru-baru ini, dia benar-benar menyesal dengan gaya, cara dan pembawaan hidup lampaunya sebelum ini yang kebanyakannya memusnahkan dirinya secara perlahan-lahan.

“Saya rasa mungkin ramai tahu tentang kehidupan masa lampau dan jahil saya sebelum ini. Macam-macam kontroversi menghimpit diri ini disebabkan nafsu yang muda membuak-buak ketika itu.

“Apa yang saya lakukan, de­ngan siapa saya berkawan semuanya saya tidak ambil pusing pada ketika itu. Asalkan benda-benda yang saya lakukan itu mendatangkan keseronokan sudah memadai bagi anak muda seperti saya.

“Tapi lama kelamaan, saya mula sedar, jalan seronok yang saya kecapi masa itu semuanya sia-sia dan tiada apapun yang boleh saya banggakan untuk diri sendiri apatah keluarga.

“Seronok cuma seketika. Selebihnya lebih kepada memudaratkan dan buat hidup saya musnah walaupun ketika itu sedang me­nuai populariti pada awal pembabitan kerjaya sebagai selebriti,” katanya.

Tambah adik kepada pelakon terkenal Emma Maembong itu lagi, tidak dinafikan, silap memilih rakan sebaya antara penyumbang terbesar mengheret dirinya menjadi sebegitu hampir sedekad lalu.

Mudah kata, baik kita buat, baiklah yang kita dapat, sebalik­nya, jika jahat kita pilih, jahatlah yang kita terima. Maka, tepuk dada tanyalah selera.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI