PETALING JAYA – Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada 3 Mac 2022 telah meluluskan pendaftaran secara bersyarat Paxlovid sebagai ubat antiviral bagi rawatan Covid-19.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ubat Paxlovid mengandungi dua bahan aktif iaitu PF07321332/Nirmatrelvir dan Ritonavir dalam sediaan dua tablet yang berbeza.
“Ubat ini bertindak untuk mengurangkan kemampuan replikasi SARSCoV-2 seterusnya membolehkan sistem pertahanan badan untuk melawan jangkitan serta penggunaan Paxlovid merupakan satu lagi inisiatif kerajaan bagi melawan Covid-19 secara percuma.
“Penggunaan ubat Paxlovid hanya ditawarkan di fasiliti kesihatan kerajaan iaitu Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan hospital Kerajaan, pendekatan rawatan ini adalah berdasarkan kajian keberkesanan dan bukti saintifik terkini yang dijalankan di peringkat antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini.
Tambahnya, penghantaran fasa pertama ubat tersebut yang dapat menampung rawatan bagi 48,000 pesakit telah tiba di Malaysia pada 9 April 2022 dan kini dalam proses agihan ke fasilti kesihatan Kerajaan.
“Setakat ini, penghantaran telah dilakukan ke 14 lokasi di seluruh negara. Penghantaran ke dua lagi lokasi iaitu Sabah dan Sarawak akan dilakukan esok melibatkan 481 CAC Klinik Kesihatan dan 15 buah hospital kerajaan.
“Penggunaan ubat ini bukan bertujuan menggantikan vaksinasi serta pematuhan terhadap prosedur-prosedur operasi
standard (SOP) yang ditetapkan dalam mengawal penularan jangkitan Covid-19, vaksinasi tetap kekal sebagai senjata terbaik bagi memerangi Covid-19,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE