BENTONG – Seorang murid perempuan darjah empat mengalami kecederaan selepas dipukul seorang guru lelaki di sebuah sekolah di sini Isnin lalu.
Dalam kejadian berkenaan murid berusia 10 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian belakang badan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, susulan laporan yang dibuat bapa mangsa pada Isnin lalu pihak polis telah membuka kertas siasatan.
“Hasil siasatan awal pihak polis mangsa dipukul seorang guru menggunakan tangan di bahagian belakang badan.
“Mangsa di bawa ke Hospital Bentong dan doktor mengesahkan mangsa mengalami ‘soft tissue injury’ akibat dipukul di bahagian belakang badan,”katanya di sini hari ini.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan yang boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. -KOSMO! ONLINE.