PUTRAJAYA – Majlis Pemulihan Negara (MPN) menggesa supaya proses kelulusan permohonan bagi pekerja asing disegerakan dengan mengurangkan karenah birokrasi, mempermudah dan menambah baik proses kelulusan bagi menampung keperluan oleh industri mendesak.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai langkah jangka pendek, majlis itu mencadangkan supaya kelulusan bersyarat boleh diberikan kepada permohonan yang sedang diproses untuk menyegerakan bekalan tenaga kerja asing kepada sektor-sektor terjejas.
Katanya, dalam masa jangka panjang pula, majlis itu berpandangan isu struktural kekurangan tenaga kerja dan kebergantungan kepada tenaga kerja asing perlu ditangani secara menyeluruh.
“Cabaran besar adalah tidak ada pekerja mencukupi untuk kegiatan industri dapat berjalan lancar. Seperti disebutkan oleh Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, waktu Covid-19 dan tiada pekerja asing masuk bantu turunkan buah kelapa sawit, dia rugi lebih RM10 bilion.
“Waktu sekarang pula harga sawit cukup tinggi dan kalau masih dilewatkan tiada pekerja asing, akan menambah kerugian besar kepada negara. Itu baru satu sektor sahaja,” katanya pada sidang akhbar Mesyuarat MPN di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE