MADRID – Dua bintang veteran Real Madrid, Luka Modric dan Karim Benzema membuktikan bahawa pengalaman mereka cukup berharga ketika membantu pasukan itu mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara selepas mengetepikan juara bertahan, Chelsea 5-4 secara agregat.
Dalam aksi suku akhir kedua di Santiago Bernabeu awal pagi semalam, Real tewas 2-3, namun kelebihan yang dimiliki ketika menang 3-1 pada aksi pertama nyata membantu kemaraan Los Blancos.
Chelsea memulakan aksi dengan garang apabila menggempur kubu Real sehingga berjaya mendapatkan tiga gol dan berkira-kira untuk pulang dengan kejayaan selepas mereka tumbang pada aksi pertama.
Bagaimanapun, Modric mencipta sentuhan menarik menerusi umpanan yang disempurnakan oleh Rodrygo pada minit ke-80 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan sebelum Benzema membuktikan sentuhan penyudah berbisa.
“Saya tidak boleh gambarkan jika kami tewas di Bernabeu. Saya tidak boleh jelaskannya, namun magis stadium ini nyata membantu pasukan ini,” kata pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti.
Pada aksi kali ini, Chelsea yang mengharapkan keajaiban nyata memiliki semangat luar biasa dan berjaya menghasilkan 28 percubaan ke arah gawang tuan rumah dengan tiga daripadanya membuahkan hasil.
Ketiga-tiga gol Chelsea dijaringkan oleh Mason Mount, Antonio Rudiger dan Timo Werner. – AGENSI