PETALING JAYA – Pereka grafik, Fahmi Reza sekali lagi mencetus kontroversi apabila memuat naik sebuah potret seekor beruk memakai tengkolok di Twitternya.
Gambar itu dimuat naik malam tadi tanpa sebarang kapsyen ataupun penerangan apakah maksud potret tersebut.
Bagaimanapun, dia kemudian memuatnaik sebuah nota yang dipercayai mempunyai kaitan dengan potret berkenaan.
“Kalau kita boleh terima dan tak sekat karya satira yang memberukkan orang lain, kita juga harus terima dan tak sekat karya satira orang lain yang memberukkan kita.
“#Satire Is Not A Crime (Satira bukan jenayah),” katanya.
Kedua-dua ciapan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan lukisan Dewan Rakyat yang tular baru-baru ini.
Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna mengecam tindakan tersebut dan meminta dia bersedia dipanggil pihak polis.
“Fahmi Reza ini sebenarnya nak hapuskan sistem diraja dekat Malaysia ke apa? Kalau ahli politik aku tak kisah lagi. Tapi kalau main warna kuning ini agak keterlaluanlah jugak. Besar betul ‘cable’ eh,” kata Mangga.
“Ini bukan isu karya satira tapi ini isu Raja Perlembangaan. Kalau bukan disebabkan sistem Raja Perlembangaan berani kata isu politik, perpaduan dan ekonomi takkan habis sehingga ke hari ini. Kita menang kita harmoni dek kerana sistem inilah,” kata Ridwan.
“10 malam terakhir dekat Sungai Buloh nampak gayanya si Fahmi ni,” kata Toji.
Sehingga kini, potret tersebut telah diulang kicau lebih 3,000 kali.
Terdahulu, Fahmi Reza sebelum ini pernah beberapa kali dipanggil polis kerana menghina beberapa tokoh berpengaruh melalui lukisan. – KOSMO! ONLINE