PETALING JAYA – Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) tambahan dan memperkenalkan perkhidmatan tren khas dikenali Ekspres Khas Keluarga Malaysia sempena sambutan Aidilfitri bermula 29 April ini.
KTMB dalam kenyataan hari ini berkata, tambahan perkhidmatan ETS dengan tiket sebanyak 4,368 serta tren khas itu yang menawarkan 516 tiket adalah berikutan permintaan tinggi daripada penumpang.
Bagi ETS, tambahan adalah melibatkan perjalanan dari KL Sentral ke Padang Besar dan sebaliknya pada 29 April hingga 2 Mei dan 6 hingga 8 Mei, manakala tren khas bagi laluan pantai timur melibatkan perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Tumpat, Kelantan.
“Tren khas ini akan berlepas pada 11 malam 29 April dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen seperti Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan Tumpat dan perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 7 Mei pada 10.50 malam,” katanya.
KTMB turut memaklumkan bahawa jualan tiket ETS tambahan dan tren khas berkenaan akan mula dijual esok (15 April) dan pengguna disaran melakukan pembelian melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB.
Sebarang pertanyaan, pengguna boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau layari saluran media baharu rasmi KTMB. – KOSMO! ONLINE.