MELAKA – Sektor perhotelan di negeri ini kembali rancak dengan kedatangan pelancong dari Singapura yang mendominasi tempahan hotel hampir 50 peratus.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, sambutan menggalakkan itu diterima sejak pembukaan sempadan negara pada 1 April lalu.
Ujarnya, setakat ini hampir kesemua hotel di negeri ini mempunyai jumlah pengembara Singapura yang tinggi, malah beberapa daripadanya turut mencecah sehingga 80 peratus.
“Sejak 1 April lalu, sektor perhotelan di Melaka kembali rancak dengan kemasukan pengembara Singpura ke negeri ini dan lebih 40 peratus tempahan juga disumbangkan oleh mereka.
“Ada sesetengah hotel yang menjadi kegemaran pengembara Singapura pula boleh mencapai sehingga 80 peratus,” katanya pada sidang akhbar di Banda Hilir di sini semalam. -KOSMO! ONLINE