PETALING JAYA – Pelakon serta pengacara, Daphne Iking mendedahkan dia mula mengenakan tudung sejak Oktober tahun lalu kerana pada awalnya hanya untuk menutup uban di kepala ketika keluar rumah.
Cerita Daphne, 43, rambutnya mula ditumbuhi uban dan dapat dilihat dengan jelas sehingga membuatkan dia seboleh-bolehnya mahu menutup kepala dengan sesuatu.
“Bapa saya meninggal dunia akibat kanser. Sejak itu saya terbabit dengan aktiviti kesedaran kanser dan berniat mendermakan rambut kepada sebuah organisasi kebajikan kanser.
“Rambut saya sangat panjang melebihi paras pinggang. Syarat untuk mendermakan rambut mestilah tak boleh lakukan sebarang rawatan membabitkan bahan kimia selama enam bulan.
“Sepanjang tempoh itu, uban saya semakin jelas kelihatan. Ketika negara diberi kelonggaran keluar rumah, saya perlu menghadiri sebuah majlis bertemakan warna ungu. Sewaktu bersiap, saya cuba tutup uban dengan pakai turban.
“Bagaimanapun, saya cuma ada selendang berwarna ungu. Saya cuba gayakan ala-ala pelakon Grace Kelly tetapi tudung yang saya pakai tergelincir ke belakang. Solusinya, saya pakai topi selam warna hitam dan padankan dengan selendang itu,” ujarnya.
Tambah Daphne, selepas seminggu bertudung menggunakan topi selam, dia ada pergi berenang dengan memakai bikini, tetapi mengakui sangat janggal.
Akhirnya, dia mengambil keputusan menjual semua pakaian seksi miliknya selepas mendapat persetujuan daripada suaminya, Azmi Abdul Rahman yang turut memberi sokongan penuh kepadanya untuk bertudung.
“Ketika itu rasa macam bogel sangat. Seganlah, dah berumur tapi pakai macam Halle Berry. Jadi saya pakai baju berenang dan perlahan-lahan beritahu suami untuk jual semua pakaian seksi.
“Proses bertudung saya teruskan sampai bulan puasa dan hari raya. Bila buka tudung, saya rasa janggal. Sekarang kalau keluar rumah tanpa tudung, rasa macam bogel,” katanya lagi.
Daphne mula mencuri perhatian ramai apabila tampil dengan imej bertudung sejak September tahun lalu menerusi perkongsian dalam Instagram.
Pengacara itu memeluk agama Islam pada 2010 dengan nama Islamnya, Dahlia Eleanor Iking sebelum kemudian berkahwin dengan Azmi pada Januari 2011.
Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan empat orang anak, Isobel Daniella Iking, Iman Daniella Iking, Isidore Daniel Iking dan Daniel Iking Azmi.