fbpx

Terap budaya 5R urus sisa pepejal secara sistematik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DR. CHUI WEI (dua dari kanan) dan Dr. Nor Shahida (tiga dari kanan) menyerahkan poster bahana pencemaran kimia terhadap alam sekitar di Bachok baru-baru ini.

DALAM usaha untuk mencapai kadar kitar semula sebanyak 40 peratus pada 2025, tahap kesedaran rakyat mengenai kepentingan pengurusan sisa pepejal melalui amalan kitar semula perlu dipertingkatkan.

Berdasarkan laporan mengenai data kutipan sisa di Malaysia, trend peningkatan penjanaan sisa pepejal di dijangka mencecah kira-kira 39,936 tan pada tahun ini.

Sehubungan itu, satu bengkel bertajuk ‘Kesedaran Tentang Pencemaran Kimia dan Sisa Pepejal’ dalam kalangan komuniti pinggir laut julung-julung kali dianjurkan oleh Universiti Malaya (UM) di Bachok, Kelantan baru-baru ini.

Penganjuran program itu dibuat menerusi Program Geran Penyelidikan Antara Disiplin Berorientasikan Impak (IIRG) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Jajahan Bachok serta Majlis Daerah Bachok.

Dalam program itu, pemupukan budaya 5R iaitu Reduce (Kurangkan), Reuse (Guna semula), Recycle (Kitar semula), Rethink (Pemulihan) dan Refuse (Tolak) sebagai budaya sepanjang hayat dalam kalangan rakyat.

Ia bagi meningkatkan insentif kitar semula dan kesedaran menjaga alam sekitar dalam kalangan komuniti dilaksanakan.

Tanggungjawab ini perlu dipikul bersama oleh semua rakyat Malaysia agar alam sekitar kita bersih, selamat dan hidup terjamin dalam suasana aman serta sihat.

Pensyarah di Jabatan Geografi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM, Dr. Nor Shahida Azali berkata, satu kajian tingkah laku komuniti terhadap proses pengurusan sisa di zon pinggir laut di Bachok dilakukan dari Julai 2019 sehingga Mac 2022.

Katanya, hasil kajian menunjukkan, hanya 30 peratus komuniti khususnya di Bachok mengamalkan 5R dalam kehidupan harian.

Ujarnya, kebanyakan mereka menguruskan sisa melalui proses membakar, membuang sisa ke dalam tong sampah disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan menanam tanpa melakukan proses pengasingan.

“Selain itu, jika dirujuk kepada lawatan ke tapak pelupusan sisa pepejal di Beris Lalang, Bachok menunjukkan, dalam tempoh tiga tahun dari 2018 sehingga 2020, sisa yang dikumpulkan menunjukkan jumlahnya semakin bertambah setiap bulan.

“Ia dikumpulkan oleh empat PBT iaitu Majlis Daerah Bachok, Majlis Daerah Ketereh, Majlis Daerah Pasir Puteh serta Majlis Perbandaran Kota Bharu.

“Dalam tempoh setahun, terdapat bulan-bulan tertentu sisa pepejal agak tinggi iaitu pada Disember kerana ia dikaitkan dengan sisa hasil daripada banjir dan semasa bulan-bulan perayaan.

“Ia meningkat antara 97 tan hingga 906 tan sebulan,” katanya.

SISA pepejal perlu diurus dengan baik bagi menjaga kelestarian alam sekitar. – gambar hiasan

Keadaan ini semakin membimbangkan dan perlu diambil serius khususnya dalam usaha mendidik komuniti agar faham, mahu dan mula melaksanakan pengasingan sisa pepejal serta menerapkan amalan 5R dalam kehidupan mereka.

Dalam pada itu, Ketua Unit Marin Biodiversiti dan Kajian Pantai UM, Prof. Madya Dr. Bong Chui Wei berkata, pengurusan sisa pepejal yang lemah di tapak pelupusan menyebabkan pencemaran kimia berlaku.

Menurutnya, keadaan itu boleh menyebabkan air tercemar dari tapak pelupusan mengakibatkan pencemaran sumber air dan tanah yang serius.

“Selain itu, tindakan segelintir penduduk yang membakar sampah secara terbuka di kediaman masing-masing ataupun di kawasan tapak pelupusan sisa pepejal juga menimbulkan kesan jangka pendek mahupun panjang kepada komuniti.

“Salah satunya adalah pencemaran polutan Hidrokarbon Aromatik Polisiklik (PAHs). Ia adalah satu isu membimbangkan kerana beberapa senyawa organik telah dikenal pasti sebagai karsinogenik, mutagenik dan teratogenik yang akan memberi mudarat kepada kesihatan manusia dan alam sekitar,” jelasnya.

Ujarnya, peluang melaksanakan bengkel kesedaran tentang pencemaran kimia dan sisa pepejal dalam kalangan komuniti pinggir laut ini telah digunakan sebaik mungkin untuk menjelaskan tentang isu-isu tersebut kepada komuniti dan juga pihak yang bekerjasama.

Dalam pada itu, pasukan penyelidik UM berharap agar usaha ini boleh diteruskan pada masa depan dengan melibatkan penyertaan lebih banyak pihak.

Untuk itu, pelaksanaan yang lebih konsisten perlu diterapkan agar isu pencemaran akibat daripada sisa pepejal di Kelantan dapat ditangani dengan lebih berkesan.

Ia bagi menjamin kualiti alam sekitar dan kesihatan rakyat di negeri tersebut secara umumnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI