fbpx

Syed Saddiq jumpa keluarga Yasin Sulaiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq bertemu dengan keluarga penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman yang berdepan kemungkinan hukuman mati disebabkan tuduhan mengedah dadah jenis ganja, hari ini.

PETALING JAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang lantang memperjuangkan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan membuat satu pertemuan dengan keluarga penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman hari ini.

Mempertahankan Yasin atau nama sebenarnya, Mohamad Yasin Sulaiman, yang berdepan hukuman gantung sampai mati atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja, Saddiq berkata, tragedi berlaku terhadap penyanyi itu merupakan tangisan meminta bantuan bukan hanya untuk dirinya, tetapi orang lain yang memerlukan kanabis sebagai alternatif perubatan.

“Tadi saya sempat berjumpa dengan keluarga Yasin. Saya mohon maaf kepada saudara Yasin sebab terlepas pandang hantarannya pada Oktober lepas.

“Apa yang berlaku kepadanya adalah tangisan meminta bantuan bukan hanya untuk dirinya tetapi untuk orang lain yang lama sudah menderita dan memerlukan kanabis untuk tujuan rawatan perubatan.

“Tiada mak ayah yang nak tengok anak mereka sakit dan masuk penjara sebab cari rawatan. Ibu bapa hanya mahukan yang terbaik untuk kesihatan anak-anak,” katanya menerusi hantaran status terbaharu dalam Instagram.

Ujar mantan Menteri Belia dan Sukan itu lagi, beliau acapkali bertemu dengan ibu bapa yang terpaksa membeli phytocannabinoid CBD (cannabidiol) atau minyak CBD dari luar negara demi merawat anak-anak mereka.

“Mama saya pun merayu, mohon bantu saudara Yasin. Saya ada jumpa ibu bapa yang terpaksa beli CBD dari luar negara untuk anak-anak mereka. Doktor-doktor pun ada cuba bantu dapatkan CBD untuk pesakit.

“Mereka semua memerlukan ubat yang terbaik untuk kesihatan mereka. Ini persoalan antara hidup dan mati.

“Saudara Yasin yang kita kenal ini baru satu, tapi ada banyak lagi ‘Yasin’ yang kita tak kenal mungkin dah dihukum dan tidak mendapat rawatan yang betul,” getusnya.

Tegas Saddiq lagi, undang-undang pengharaman perubatan kanabis sudah lapuk dan dalam coretan status sama, beliau memberi analogi bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga sudah mengeluarkan kanabis daripada senarai narkotik.

“Undang-undang pengharaman perubatan kanabis dah lapuk. WHO sendiri dah keluarkan kanabis dari senarai narkotik.

“Realitinya, abila cakap mengenai rokok, rokok membunuh lapan juta orang setiap tahun, di Malaysia sahaja 27,000. Alkohol pula tiga juta kematian setiap tahun.

“Tapi apabila bercakap hal kanabis untuk perubatan, tiba-tiba ia menjadi satu ‘taboo’ dan tindakan hukuman undang-undang dikenakan. Ingat, pesakit bukan penjenayah!,” ujarnya.

Dalam hantaran status yang dimuat naik, tertera juga status Facebook yang dicoret Yasin pada tarikh 14 Oktober 2021 memuji usaha ahli politik berkenaan memperjuangkan penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan.

Pada 25 Mac lalu Kosmo! Online melaporkan polis menahan penyanyi nasyid kerana disyaki memiliki dadah dan menanam pokok ganja di sebuah kondominium di Kota Damansara, di sini.

Ekoran itu, pada 31 Mac, penyanyi itu yang didedahkan identiti sebagai Yasin kemudian dilaporkan bakal berdepan hukuman mati akibat perbuatannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI