TEXAS – Pelumba Suzuki, Alex Rins mengakui jenteranya semakin stabil sekali gus berharap pasukannya terus bekerja keras bagi menyediakan pakej lebih lengkap menjelang Grand Prix (GP) Portugal pada 24 April nanti.
Selepas menamatkan podium tempat kedua di GP Americas kelmarin, Rins kini berada di kedudukan kedua keseluruhan selepas empat pusingan apabila mengumpul 56 mata dan ketinggalan lima mata dengan Enea Bastianini (Gresini Racing).
Justeru, Rins melihat perebutan gelaran dunia MotoGP ketika ini lebih terbuka dan mahu mengekalkan keputusan konsisten pada setiap pusingan perlumbaan.
“Apa yang saya boleh katakan ketika ini ialah jentera Suzuki lebih baik berbanding tahun lepas, kami telah menambah baik kemampuan enjin.
“Sebab itu, saya tidak berdepan masalah untuk memecut lebih laju terutama di laluan lurus.
“Tetapi kami masih perlu memberikan tumpuan kepada aspek aerodinamik kerana di Texas saya rasa semua orang dapat melihat bahawa kami ketinggalan sedikit terutama bahagian depan jentera.
“Saya yakin Suzuki akan mengusahakan sesuatu untuk membawa masuk komponen baharu, tetapi saya sangat gembira kerana kami mendapat keputusan yang sangat baik,” katanya. – AGENSI