PONTIAN – Sebuah rumah pusaka yang menjadi kunjungan pada hujung minggu oleh sebuah keluarga hangus dalam kejadian kebakaran di Jalan Parit Ismail, Benut di sini, tengah hari tadi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pontian, Penolong Penguasa Bomba, Azhar Abdul Jalil, pihaknya menerima panggilan dari orang awam pada pukul 12.50 tengah hari dan menghantar sembilan anggota bersama sebuah jentera.
“Kebakaran telah memusnahkan 70 peratus rumah tersebut yang telah berusia lebih daripada 30 tahun,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Azhar, menurut salah seorang keluarga tersebut, dia baru sahaja selesai meracun kawasan sekeliling dan membakar sampah berhampiran rumah tersebut bagi menyambut Syawal.
“Punca kejadian mungkin berpunca dari pembakaran sampah yang tidak terkawal sehingga menyebabkan merebak ke rumah pusaka itu,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE