BANGKOK – Seorang remaja dilaporkan melempar sebutir bom ‘pingpong’ ke arah kediaman Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha di Bangkok, lapor akhbar Thaiger kelmarin.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Ahad lalu.
Remaja lelaki bermotosikal itu, melempar bom buatan sendiri pada pagar berek Rejimen Infantri Pertama di Jalan Vibhavi Rangsit yang menjadi lokasi tempat tinggal Prayut.
Bom itu meletup di sebuah laman setentang dengan kediaman Prayut, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Skuad Pemusnah Bahan Letupan dilaporkan telah mengumpulkan bukti, manakala pegawai penyiasat masih menjalankan siasatan untuk mencari pelaku serangan tersebut.
Setakat ini, tidak dapat dipastikan sama ada serangan itu mempunyai kaitan dengan tunjuk perasaan yang diadakan di Bangkok pada hari sama.
Semasa demonstrasi tersebut, penyokong gerakan antikerajaan dikenali sebagai Baju Merah berarak di jalan-jalan di Bangkok kira-kira pukul 5 petang (waktu tempatan) dan membakar keranda tertera gambar Prayut.
Mereka bersorak ketika keranda terbakar dan api dipadamkan pukul 6.57 petang sebelum peserta penunjuk perasaan membersihkan kawasan sekitarnya lalu bersurai.
Protes itu diadakan untuk memperingati ulang tahun ke-12 demonstrasi besar-besaran oleh Baju Merah pada tahun 2010.
Sekitar 90 orang terbunuh dalam protes ganas tersebut, manakala 2,000 yang lain cedera. – AGENSI