IPOH – Polis Perak menafikan dakwaan kononnya menghalang penyokong bola sepak Perak masuk ke stadium bagi menonton perlawanan.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan arahan seumpama itu sebaliknya penyokong dibenarkan menonton asalkan mempunyai tiket perlawanan.
“Kita tidak boleh halang masyarakat menonton perlawanan bola sepak. Jika ada tiket yang sah, kita akan benarkan mereka masuk.
“Setakat ini, memang tiada maklumat yang kita larang (hadir ke stadium). Pihak polis hanya membuat pemeriksaan rapi supaya penonton tidak membawa masuk benda-benda yang tidak dibenarkan seperti senjata,” ujarnya.
Beliau ditemui selepas program pemantauan operasi standard (SOP) Covid-19 dan High Profile Policing (HPP) di bazar Ramadan di perkarangan Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Berkaitan larangan membawa gendang, kata Mior Faridalathrash, itu terpulang kepada pihak pengurusan stadium. – KOSMO! ONLINE