fbpx

Penguat kuasa KPDNHEP berpakaian preman buru ‘pencuri’ RON95

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR tular di media sosial menunjukkan sebuah kenderaan dengan nombor plat asing diisi dengan minyak petrol bersubsidi RON95. Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Seramai 2,200 penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) digerakkan menerusi Ops Samar dengan mereka berpakaian preman bagi menguat kuasa larangan kenderaan asing mengisi minyak Petrol RON95.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, usaha itu bagi melaksanakan pemeriksaan dan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaan di seluruh negara terhadap mana-mana individu dan pengusaha stesen minyak yang cuba melanggar perundangan berkaitan.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan mengambil tindakan tegas dengan menggantung sementara lesen pengusaha stesen minyak yang terlibat sehingga siasatan selesai dijalankan.

“Tindakan ini adalah bukti KPDNHEP mengambil serius laporan orang ramai dan media tentang kenderaan asing mengisi minyak petrol RON95 khususnya di stesen minyak sempadan negara.

“Dalam mesyuarat antara KPDNHEP dan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia baru-baru ini, pihak persatuan telah menyatakan sokongan dan komitmen untuk memastikan semua stesen minyak di Malaysia mematuhi perundangan berkaitan larangan penjualan RON95 di seluruh stesen minyak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexander berkata, pihaknya memberi amaran keras kepada semua pihak termasuk pengusaha stesen minyak bahawa KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati bersalah.

Katanya, tindakan tegas akan di ambil termasuk mendakwa mereka di Mahkamah berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI