KECOH di media sosial apabila kerajaan mengumumkan pelitup muka bukan perubatan perlu ada cop SIRIM.
Penguatkuasaan yang sepatutnya mula dilaksanakan pada 5 Julai depan bagaimanapun ditangguhkan kerajaan kepada 1 Januari 2023 selepas mendapat ‘tentangan’ hebat daripada pengguna.
Seiring dengan pengumuman berkenaan, semua mempersoalkan sama ada pelitup muka berkenaan akan membuatkan seseorang itu tidak akan dijangkiti Covid-19 kerana kualiti dan keselamatan tinggi.
Malah ada juga pihak yang mempertikaikan kenapa selepas dua tahun bergelut dengan Covid-19 dan ketika negara berada pada fasa peralihan endemik baru ‘undang-undang’ berkenaan mahu dilaksanakan.
“Di saat banyak negara yang tidak lagi menguatkuasakan pelitup muka, lain pula halnya di negara ini.
“Dua tahun kita mengharungi pandemik Covid-19 dengan kes mencecah puluhan ribu, elok saja guna pelitup tanpa SIRIM.”
Demikian sebahagian keluhan pengguna yang menyifatkan pelaksanaannya nanti bakal membebankan pengguna.
Mengikut kerajaan, tujuan penguatkuasaan pelitup muka perlu ada cop SIRIM bagi mengatasi lambakan barangan tersebut yang tidak berkualiti di samping menjaga kesejahteraan pengguna.
Kita tidak mempertikaikan alasan itu, malah tiada siapa mempertikaikan keperluan menggunakan pelitup muka yang kita semua tahu salah satu ‘perisai’ mengelakkan daripada dijangkiti virus pembunuh itu.
Bagaimanapun bolehkah pihak berkuasa memberi jaminan bahawa harga tidak akan naik dan pengguna tidak terbeban.
Bagi yang mampu, Alhamdulillah, namun bagi kumpulan B40, M40 yang kini bergelut dengan kenaikan harga barang, sudah pasti tertekan.
Ketika ini, tiada hari tanpa pelitup muka sama ada ke sekolah, tempat kerja, pasar termasuk bersiar-siar sejak kerajaan mewajibkan penggunaannya pada Ogos 2020.
Mengikut perkiraan, sehari seorang perlu keluarkan belanja antara 40 sen hingga RM2 untuk sekeping pelitup muka. Malah harga itu mungkin lebih mahal mengikut reka bentuk, kualiti dan pengeluar.
Bayangkan jika satu keluarga terdiri daripada lima orang dan kesemuanya bersekolah dan bekerja, berapa wang yang perlu dikeluarkan dalam sehari? Harga yang perlu dibayar untuk tujuh hari dan sebulan.
Sebelum ini juga, terdapat kes individu yang membasuh pelitup muka kerana tidak mampu membeli barangan tersebut.
Jika penggunaan pelitup muka bukan perubatan dengan cop SIRIM dikuatkuasakan, kita bimbang kes seumpama itu akan berulang. Mungkin ada pengguna yang akan menggunakan pelitup muka yang sama berhari-hari semata-mata mematuhi arahan kerajaan.
Sudahnya, kebersihan tidak terjaga, terdedah pula kepada jangkitan. Kepada kerajaan, fikirkanlah keluhan rakyat yang baru hendak hidup semula selepas dua tahun nyawa-nyawa ikan.
Kepada rakyat, perlu diingat, pelaksanaan pelitup muka ada cop SIRIM ditangguhkan bukan dimansuhkan.