KLANG – Empat nelayan pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup bersama 400 kilogram (kg) di kedudukan 27 batu nautika barat daya Kuala Selangor, semalam.
Penahanan kesemua warga Myanmar berusia 24 hingga 45 tahun dilakukan pukul 3.30 petang di dalam sebuah bot nelayan tempatan kelas C oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ( APMM)
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim berkata, bot tersebut ditahan ketika rondaan rutin penguatkuasaan di sekitar perairan Selangor.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot dikendalikan empat kru termasuk tekong warga Myanmar dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri.
“Mereka juga gagal kemukakan permit kerja yang sah serta bot tersebut didapati melanggar syarat sah lesen.
“Bot bersama hasil tangkapan ikan campur dianggarkan seberat 400 kg telah ditahan dan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah bagi siasatan lanjut oleh pegawai penyiasat maritim,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO!ONLINE