KUANTAN – Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) mencatatkan pengagihan dividen modal syer dan agihan keuntungan unit ladang paling tinggi dalam tempoh 55 tahun sejarah penubuhannya dengan merekodkan bayaran dividen modal syer banyak 55 peratus.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dividen terbabit akan diagihkan kepada kira-kira 1,500 ahli Kosma yang layak berdasarkan jumlah unit masing-masing bermula 15 April ini.
“Tahun 2021 merupakan tahun paling gemilang bagi Kosma yang mana disebalik kemelut ekonomi melanda dunia dan di tengah-tengah Covid-19 yang masih kita hadapi di dalam fasa peralihan endemik, Kosma mencapai pendapatan yang mampu memberikan pulangan yang lumayan kepada semua anggota yang layak menerimanya.
“Jawatankuasa Pentadbir Kosma telah memuktamadkan penyata lewangan Kosma berakhir 31 Disember lalu bagi memastikan dividen modal syer dan agihan keuntungan unit ladang bagi tahun 2021 dapat dibayar kepada semua anggota Kosma yang layak,”katanya dalam sidang akhbar pengumuman dividen Kosma di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah pembayaran bagi dividen modal syer adalah sebanyak RM 31.47 juta, manakala pembayaran bagi agihan keuntungan unit ladang adalah sebanyak RM30.73 juta dengan jumlah keseluruhan yang dibayar ialah RM 62.2 juta.-KOSMO! ONLINE