PETALING JAYA – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) akan mempertingkatkan pemantauan penyeludupan serta penjualan mercun tanpa permit menjelang perayaan Aidilfitri tahun ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah WPKL, Mohammad Sabri Saad berkata, operasi pemeriksaan mercun serta bunga api di seluruh negara telah dikuatkuasakan baru-baru ini.
“Pemeriksaan serta pemantauan ini juga melibatkan peniaga kecil kerana kebanyakan kes penjualan mercun serta bunga api tanpa permit berlaku di peringkat dalaman seperti kedai runcit atau pasar malam.
“Selain itu, kita turut mengesan kebanyakan sindiket terbabit menggunakan laluan gajah di sempadan negara. Justeru itu, pemantauan akan dijalankan” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Zon Tengah WPKL, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohammad Sabri menasihati orang ramai agar tidak mengedar atau menjual mercun seludup terutamanya ketika musim perayaan Aidilfitri.
Jelasnya, mercun yang mempunyai permit sahaja dibenarkan untuk dijual di pasar malam manakala jika sebaliknya akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kastam 1967. – KOSMO! ONLINE