PETALING JAYA – Cubaan menyeludup masuk cerut (cigar) serta minuman keras tidak bercukai berjaya dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi operasi berperingkat dijalankan bulan lepas.
Difahamkan, Ops Kontraban itu dilaksanakan sepanjang Pelabuhan Barat, Pelabuhan Utara serta Pelabuhan Klang yang berakhir pada 28 Mac lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Mohammad Sabri Saad berkata, operasi itu melibatkan pemeriksaan serta rampasan enam buah kontena mengandungi cerut serta minuman keras tanpa permit.
“Hasil pemeriksaan mendapati sebuah kontena membawa sebanyak 4,674 kilogram (kg) cerut tanpa permit bernilai RM52,740 membabitkan cukai dan duti dianggarkan berjumlah RM3.09 juta.
“Ini merupakan kejayaan rampasan produk tembakau terbesar bagi tahun ini,” ujarnya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Katanya, cubaan sindiket untuk mengaburi pihak berkuasa dengan meletakkan produk tembakau bersama selipar getah gagal apabila JKDM mengesan manipulasi dokumen yang diikrarkan dalam Bill of Lading.
Sementara itu, JKDM turut menahan lima buah kontena mengandungi minuman keras sebanyak 75,420 liter bernilai RM416,254 membabitkan cukai dan duti berjumlah RM1.9 juta.
“Antara minuman keras cuba diseludup masuk jenama Tsingtao, Knight General, Southan, Lambo, Super X dan Harbin yang memerlukan lesen import serta setem cukai di bawah Peraturan 42(1), Peraturan-Peraturan Kastam 2019.
“Susulan itu, kita telah memanggil lima orang wakil syarikat perkapalan bagi membantu siasatan serta mengesan syarikat atau ejen pengimport untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Jelas Mohammad Sabri, kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport serta mengeksport barang tak berkastam atau larangan import. – KOSMO! ONLINE