SEPANG – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui agensinya Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) terus mempergiatkan usaha mempromosikan Sambutan 100 Tahun Koperasi dengan tema ‘100 Tahun Gerakan Koperasi Membangun Keluarga Malaysia’.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar melancarkan usaha tersebut pada 12 Februari lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Antara objektif utama sambutan itu adalah untuk memberi pengiktirafan sumbangan sektor koperasi kepada pembangunan sosio-ekonomi negara, mengiktiraf koperasi sebagai entiti Social Solidarity Enterprise (SSE) yang bertindak sebagai ejen penyatuan sosial dan masyarakat serta mempromosikan konsep berkoperasi sebagai satu institusi keusahawanan.
Noh memberitahu, Gerakan Koperasi telah memainkan peranan yang sangat besar dalam pembangunan ekonomi negara terutamanya bagi menangani peningkatan kos sara hidup.
“Sumbangan koperasi harus dilihat dari aspek peningkatan kuasa beli rakyat yang membawa kepada kemakmuran bersama, bukan hanya mengikut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Koperasi juga merupakan salah satu model keusahawanan sosial yang tidak menjadikan keuntungan sebagai matlamat utama sebaliknya memberi manfaat dan kesejahteraan kepada anggota dan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.
Noh menjelaskan, sambutan besar-besaran perlu diadakan bagi mengiktiraf sumbangan koperasi kepada sosio ekonomi negara.
“Dua acara utama yang telah dirancang adalah pelancaran Bulan Koperasi Kebangsaan pada 2 Julai depan bertempat di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Sementara itu, acara kemuncaknya bakal disambut pada 23 Julai depan pada hari Sabtu minggu ketiga setiap bulan Julai setiap tahun yang dipersetujui oleh kerajaan sebagai Hari Koperasi Negara yang akan disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” ujarnya.
Noh memaklumkan, sebanyak 100 papan tanda (billboard) dan digital bakal dinaikkan di sepanjang Lebuh Raya Utara-Selatan, di sekitar Lembah Klang serta di kawasan tumpuan awam seperti di KL Sentral dan Putra LRT bagi mempromosi serta menghebahkan sambutan tersebut.
Tambah beliau, pelbagai aktiviti dan program telah dirancang SKM sepanjang Sambutan 100 Tahun Koperasi kali ini.
Antaranya adalah program Syiling Khas 100 Tahun Koperasi keluaran Bank Negara Malaysia, Setem Khas Kenang-Kenangan oleh Pos Malaysia, Bola Sepak : Coop Cup 2022, Aspirasi 100 Tahun Koperasi Malaysia.