RANTAU PANJANG – Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas minuman keras, rokok elektronik, barangan runcit dan perkasas dapur seludup selepas menahan sebuah lori di jalan Kemahang, Tanah Merah dekat sini semalam.
Dalam tangkapan pada pukul 7 pagi itu , anggota PGA turut menahan pemandu lori berusia 32 tahun dan kelindannya 30 tahun selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.
Pegawai Pemerintah Batalion 7, PGA Superintendan Azhari Nusi berkata, anggota PGA melihat sebuah lori jenis Isuzu dipandu dalam keadaan mencurigakan semasa menjalankan rondaan rutin di jalan Bukit Bunga menghala ke Kemahang.
Menurutnya, anggota bertugas terus menahan lori tersebut dan memeriksa bahagian belakang kenderaan itu sebelum menemui sejumlah minuman keras tidak bercukai, rokok elektronik, barangan runcit dan perkasasan dapur.
“Bagaimanapun, pemandu lori itu gagal mengemukakan sebarang dokumen keterangan berkaitan barangan yang dibawanya itu. Berdasarkan keterangan suspek, kesemua barangan tersebut akan dibawa dan dijual di Kuala Lumpur.
“Siasatan awal turut mendapati, pemandu dan kelindan lori itu menerima upah sebanyak RM300 bagi satu trip penghantaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Azhari, nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM531,381 dan kedua-dua suspek serta barangan rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk siasatan lanjut. – KOSMO! ONLINE