fbpx

Dua lelaki isi 5,167 liter diesel tanpa permit ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua buah lori yang dirampas selepas disyaki digunakan untuk mengisi minyak diesel tanpa permit di dua buah stesen minyak berasingan di Skudai, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya menahan dua pemandu lori yang membawa muatan sebanyak 5,167 liter diesel bernilai RM176,539 tanpa permit sah di dua buah stesen minyak berasingan di Skudai, di sini awal pagi tadi.

Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, kedua-dua lelaki warga tempatan yang berusia 28 dan 56 tahun itu masing-masing ditahan pada pukul 2.30 dan 2.45 pagi.

Menurutnya, serbuan berkenaan dijalankan selepas pihaknya mendapat maklumat berkenaan penyelewengan diesel di kawasan berkenaan.

“Sewaktu serbuan dijalankan, kedua-dua lelaki tersebut sedang mengisi diesel ke dalam tangki yang telah diubah suai di bahagian belakang lori tersebut.

“Pemeriksaan lanjut mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran yang sah untuk membawa barang kawalan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM176,539 dan kedua-dua suspek beserta barangan rampasan kemudiannya dibawa ke Markas (PPM) Wilayah Dua untuk tindakan lanjut.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN