ALOR SETAR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu kerana disyaki memalsukan butiran bagi membuat tuntutan bernilai RM176,800 daripada kerajaan pada 2020 dan 2021.
Sumber SPRM memaklumkan, mereka terdiri daripada seorang lelaki yang merupakan pengarah syarikat pertanian berusia 32 tahun dan seorang wanita yang merupakan ketua pegawai pentadbiran syarikat berusia 30 tahun.
Katanya, kedua-dua mereka ditahan di Pejabat SPRM Kedah kira-kira pukul 11 pagi ini.
“Mereka disyaki mengemukakan laporan mengandungi butiran palsu kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
“Ia berkaitan senarai peserta Program Mobiliti Tenaga Kerja di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan tidak menepati syarat perjanjian yang ditandatangani,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua individu didakwa telah memalsukan butiran peserta program bagi tujuan tuntutan bernilai RM176,800,
Tambahnya, kenyataan kedua-dua individu tersebut dirakam sebelum dilepaskan dengan jaminan SPRM.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” katanya. – KOSMO! ONLINE