SEREMBAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menumpaskan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi pada Isnin lalu.
Menurut Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil, hasil risikan selama beberapa minggu pihaknya telah melakukan serbuan ke atas sebuah stesen minyak di Teluk Kemang, Port Dickson kerana disyaki menjalankan aktiviti penyelewengan minyak diesel bersubsidi.
Katanya, ketika serbuan dilakukan ke atas stesen minyak tersebut terdapat sebuah lori tangki sedang mengisi minyak di dalam tangki simpanan di steen minyak berkenaan.
“Ketika serbuan pemandu lori terbabitmembuat pengisian minyak berjumlah RM500 bersamaan kira-kira 232 liter.
“Hasil siasatan awal mendapati pemandu lori terbabit disyaki telah mengisi dua kali pengisian dengan jumlah setiap transaksi RM 500,” katanya ketika sidang akhbar di Stor KPDNHEP, Seremban 2 di sini hari ini.
Tambahnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati ruang tangki simpanan mengandungi minyak diesel 370 liter.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM27,795.50. Turut ditahan seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pemandu lori bagi membantu siasatan,” tambahnya.-KOSMO! ONLINE