LONDON – Bekas pemain Liverpool dan Tottenham Hotspur, Jamie Redknapp percaya pertemuan dua kelab yang pernah disertainya itu bakal menjadi penentu siapakah yang akan berjaya menjulang gelaran juara Liga Perdana Inggeris musim ini.
Ketika ini, Manchester City berkelebihan satu mata untuk memimpin carta liga selepas aksi menentang Liverpool di Etihad kelmarin berakhir dengan keputusan seri 2-2 sekali gus persaingan kedua-dua pasukan itu masih berterusan.
Berbaki tujuh perlawanan sahaja lagi musim ini, setiap perlawanan yang dihadapi oleh kedua-dua pasukan itu pastinya diibarat sebagai aksi final dan keciciran mata mungkin akan membuatkan salah satu daripada mereka berdepan kekecewaan,
Bagaimanapun, Redknapp percaya bahawa Liverpool tidak mempunyai masalah untuk memenangi baki perlawanan mereka kecuali ketika turun menentang Spurs pada 7 Mei depan yang juga merupakan aksi ketiga terakhir EPL.
“Perebutan ini masih sukar untuk ditentukan. Saya mempunyai rasa bahawa pertemuan Liverpool dan Spurs nanti cukup signifikan. Ia mungkin perlawanan yang memberikan kesukaran buat Jurgen Klopp.
“Ia bukan suatu yang mengejutkan apabila menentang Spurs nanti adalah perlawanan yang paling sukar perlu dihadapi The Reds terutama ketika skuad kendalian Antonio Conte itu juga memerlukan mata untuk mengukuhkan kedudukan di kelompok empat terbaik.
“Spurs perlu benar-benar selamat kerana Arsenal juga sedang mengintai kedudukan tersebut. Conte berada pada fasa terbaik bersama Spurs selain gandingan Harry Kane dan Son Heung-min kembali menemui sentuhan,” jelasnya. – AGENSI