KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan antaranya merahsiakan sumber 100 kepingan emas, memiliki wang tunai lebih RM3 juta dan memiliki wang tunai dolar lebih USD1 juta (RM4.23 juta) di sebuah rumah tahun lalu.
Bagaimanapun Choo Hin Voon ,44, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Hin Voon didakwa telah merahsiakan sumber 100 kepingan emas anggaran berat 100 Kg (kilogram), wang tunai RM3.4 juta, dan wang tunai USD1.2 juta (RM5.07 juta) yang mana kesemuanya merupakan hasil daripada aktiviti haram yang telah dirampas oleh dua pegawai polis pada 14 dan 19 April 2021 di sebuah rumah di Bandar Bukit Tinggi Klang, Selangor.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tingkat 23, Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini antara 23 Jun 2021 dan 7 April 2021.
Bagi ketiga-tiga kesalahan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 4(1)(d) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 49(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Sementara bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa dengan niat memperdaya dengan suatu catatan palsu melalui dokumen pernyataan bertulis dengan bersumpah di bawah Seksyen 49 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang berkaitan dengan sumber seperti pertuduhan pertama hingga ketiga di tempat sama pada 25 Februari lalu (2022).
Bagi pertuduhan keempat itu, pendakwaan dikemukakan memgikut Seksyen 89 dan dibaca bersama subseksyen 49(4) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd. Jeffery Ong, menawarkan RM100,000 bagi setiap pertuduhan terhadap tertuduh.
Bagaimanapun peguam Abdul Hakeem Aiman yang mewakili tertuduh, memohon jumlah ikat jamin itu dikurangkan dengan alasan, tertuduh telah memberi kerjasama sepanjang siasatan dijalankan.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 30 Mei ini bagi sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE