KUALA LUMPUR – Tiga wanita antara lapan warga asing diberkas kerana disyaki terlibat dalam kegiatan seluk saku di sekitar Jalan Ampang, di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung kes kehilangan kad kredit akibat penyeluk saku pada Sabtu lalu.
“Hasil risikan kita berjaya menangkap lapan warga asing terdiri daripada lima lelaki serta tiga wanita berusia lingkungan 22 hingga 38 tahun disyaki terlibat dalam kes seluk saku terbabit.
“Menerusi tangkapan itu, polis turut merampas dua buah telefon bimbit jenama Iphone 13 Pro serta lapan keping resit pembelian kad kredit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Selain itu, polis juga merampas aksesori fesyen termasuk satu topi jenama Armani Exchange, dua beg silang Tommy Hilfiger dan Puma menjadikan jumlah keseluruhan rampasan bernilai RM37,000.
Tambah Noor Dellhan, kesemua suspek telah ditahan reman selama dua hari bermula hari ini untuk siasatan selanjutnya di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE