SHAH ALAM – Seorang tukang jahit antara tiga individu warga Myanmar yang ditahan selepas dipercayai terlibat dalam pembunuhan rakan senegara mereka di belakang sebuah kedai di Seksyen 25 di sini, kelmarin.
Ketiga-tiga suspek termasuk wanita berusia 20 hingga 40an itu diberkas antara pukul 9 dan 11 malam di sekitar lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya terlebih dahulu dimaklumkan mengenai seorang lelaki warga Myanmar yang mati ditikam kira-kira pukul 6.30 petang hari sama oleh penduduk sekitar.
Katanya, hasil siasatan mendapati mangsa berusia 20-an itu mengalami kecederaan parah di bahagian perut.
“Pemeriksaan di lokasi kejadian turut menemui dua bilah pisau iaitu berhampiran mangsa dan berdekatan longgokan sampah di lorong berhampiran.
“Susulan itu, polis menangkap tiga suspek warga Myanmar iaitu dua lelaki yang merupakan penjaga kedai makan dan seorang wanita bekerja sebagai tukang jahit bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama tujuh hari manakala mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Klang untuk bedah siasat.
Jelas Mohd. Iqbal, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti motif pembunuhan selain mengesan saki baki suspek lain.
“Justeru, mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd. Afandi di talian 03-55202222.
“Kes disiasat mengikut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. -KOSMO!ONLINE