KUALA SELANGOR – “Selain amat mentaati ibunya, arwah sentiasa menjaga solat dan menyayangi kucing peliharaannya,” kata Safaridah Mat Jonet, 52.
Demikian kata isteri kepada seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Yusri Taib, 52, yang meninggal dunia ketika solat Isyak berjemaah di Masjid An-Nur Saujana Utama, dekat sini, malam tadi.
Menurut Safaridah, ketika kejadian dia tidak mengikut rutin arwah untuk solat berjemaah kerana agak kurang sihat.
“Namun, kira-kira pukul 9.30 malam, saya berasa tidak sedap hati kerana melihat beberapa jemaah masjid di luar rumah dan memaklumkan kematian arwah.
“Saya kemudian bergegas ke masjid itu dan redha dengan pemergian suami di rumah Allah ketika bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Saujana Perdana di sini, hari ini.
Jelas Safaridah, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara namun berhasrat mahu menyelesaikan pengubahsuaian rumah terutama dapur.
“Sebelum kejadian, arwah turut sempat membeli makanan 11 kucing peliharaan yang amat disayanginya.
“Selain menjaga solat dan sentiasa berjemaah, dia sentiasa taat kepada ibunya di Alor Gajah dengan sentiasa menghubungi pada setiap minggu,” katanya.
Tambah beliau, arwah juga amat menyayangi semua anaknya yang berusia 17 hingga 24 tahun dan tidak pernah memarahi atau memukul biarpun seorang anggota tentera. -KOSMO! ONLINE.