fbpx

Syria menginsafkan Inteam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENERUSI Kempen 12 Jam Syria yang dijalankan menerusi Facebook baru-baru ini, kumpulan Inteam berjaya mengutip RM1 juta derma daripada orang ramai.

BERAT mata yang memandang, berat lagi bahu yang memikul. Hati tiga anggota Inteam iaitu Hazamin, Rahim dan Syahril begitu tersentuh ketika mereka mengikuti misi kemanusiaan bersama Peduli Insan di Syria pada pertengahan Februari lalu.

Kumpulan yang popular dengan lagu Kasih Kekasih itu memanfaatkan kesempatan berada di Utara Syria dengan membantu pelarian yang ditempatkan sebuah kem di situ.

Lebih menariknya, mereka dapat mengumpul dana bantuan sebanyak RM1 juta menerusi kutipan derma dalam tempoh 12 jam sahaja.

“Kami masuk menerusi Turki dan berada di Syria selama empat hari. Alhamdulillah, kami dapat adakan cabaran 12 jam dalam khemah pelarian dengan sasaran kutipan RM1 juta untuk membantu pelarian Syria.

“Kempen 12 jam Syria yang disiarkan secara langsung di Facebook rasmi kami berjaya memperoleh RM840,000 untuk membantu kira-kira 84,000 pelarian Syria,” kata Hazamin.

Tambah Hazamin lagi, sasaran RM1 juta akhirnya dapat dicapai apabila ramai yang menyumbang selepas itu, sekali gus dapat membantu 100,000 pelarian.

“Bagi kempen Ramadan pula pihak Peduli Insan membantu daripada segi memberi makanan panas untuk juadah berbuka dan sahur. Makanan panas dan segar memang sukar untuk didapati di sana.

“ Ketika di sana kami sempat melihat dapur yang dibina untuk pelarian, memang sangat besar. Sasaran sehari penyediaan makanan adalah untuk 5,000 hingga 7,000 pelarian setiap hari sepanjang Ramadan.

“Banyak juga pengalaman menginsafkan yang kami saksikan di sana. Antaranya, melihat kanak-kanak berumur empat tahun menyuapkan adiknya makan daging yang sangat daif dan sejuk berupa daging lama dicicah dengan susu masam,” kata Syahril.

Lebih memilukan, mereka turut menyaksikan ramai anak-anak kecil dalam keadaan kurang sihat dan memerlukan rawatan.

Bukan itu sahaja, mereka turut melihat ramai dalam kalangan pelarian yang kehilangan tempat tinggal apabila khemah tempat perlindungan mereka runtuh akibat salji tebal.

“Harga khemah tidaklah sampai RM1,000 dan bagi segelintir kita pasti tidak begitu mahal, tetapi bagi mereka memang tak mampu untuk membelinya.

“Alhamdulillah orang Malaysia sangat dermawan. Banyak sumbangan yang orang kita berikan kepada rakyat Syria.

“Apa yang saya perasan mereka sangat gembira dengan kedatangan rakyat Malaysia di khemah pelarian,” ujar Rahim.

Meskipun berniat untuk membantu seramai yang boleh, tetapi disebabkan jumlah pelarian yang terlalu ramai iaitu mencecah 1.5 juta orang, bantuan yang dihulurkan cukup untuk 200,000 hingga 300,000 orang sahaja.

KEHIDUPAN daif dan sikap polos kanak-kanak pelarian Syiria benar-benar menyentuh sanubari setiap anggota kumpulan Inteam.

Strategi Inteam

Ketika berada di Syria dan Turki, Inteam turut mengambil peluang merakam video muzik lagu Selimut Kasih serta doa-doa untuk kandungan saluran YouTube mereka.

“Lagu Selimut Kasih ciptaan saya, manakala lirik oleh Fedtri Yahya dan telah pun dikeluarkan di semua platform digital. Video muzik lagu tersebut akan dikeluarkan selepas sambutan Aidilfitri,” kata Syahril.

Tambah Inteam, mereka harus sentiasa mengeluarkan lagu baharu setiap tiga bulan sekali dan menggunakan teknologi serta berkolaborasi dengan penyanyi muda untuk meraih peminat yang baharu supaya kekal relevan dalam industri.

Untuk itu, Inteam muncul dengan single terbaharu berjudul Damba Kasih duet bersama penyanyi muda, Sufian Suhaimi.

“Jadual kami semakin padat sekarang tambahan pada bulan Ramadan memang penuh.

“Sebelum ini kami pernah berduet dengan Khai Bahar menerusi lagu Setanggi Syurga dan kali ini kami memilih Sufian Suhaimi. Selain vokal, imejnya juga sesuai dengan Inteam. Ini adalah salah satu strategi kami mencari peminat baharu selain mengekalkan peminat lama,” kata Hazamin.

Selain muzik, kumpulan Inteam yang turut dianggotai oleh Hisyam juga aktif dalam bidang perniagaan.

“Sekitar tahun 2016 dan 2017 apabila jualan fizikal semakin merosot, kami membuat persediaan perniagaan lain seperti produksi, pakaian dan juga makanan bermula dengan iKoko, iCaffe, iKismis dan iKurma.

INTEAM kini bekerjasama sebagai pembekal rasmi dengan rangkaian Coconut Shake 336.

“Ketika berlaku pandemik Covid-19, kami dapat terus bertahan apabila perniagaan makanan berjalan seperti biasa.

“Sampai sekarang kami masih bergiat dalam projek perniagaan makanan dan terbaharu dapat bekerjasama sebagai pembekal rasmi dengan rangkaian Coconut Shake 336,” kata Hazamin yang ditemui pada majlis pelancaran perisa baharu Coconut Shake 336 baru-baru ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI