SHAH ALAM – Sebuah lukisan unik berunsurkan metafora di dalam Dewan Rakyat menarik perhatian dan dibeli Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini, Sultan Sharafuddin turut berkenan menggantung karya lukisan itu di ‘private study room’ baginda.
“Satu hari nanti, baginda berhasrat untuk melelong lukisan ini dan hasil lelongannya akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan,” katanya hari ini.
Berdasarkan lukisan itu, seolah-olah menggambarkan kelakuan ahli parlimen dalam maksud tersendiri semasa berada di dewan perundangan kerajaan itu.
Sementara itu, hantaran berkenaan telah menarik ramai rakyat melontarkan pandangan mereka mengenai lukisan tersebut.
“Tersurat sangat makna gambar ini.harapnya tuanku juga dapat melihat dan tegur pemimpin politik seperti gambar yang tuanku beli tu,” kata Pakanasa FC.
Manakala pengguna, Jamie Long menyifatkan pelukis adalah seorang yang hebat.
“Daulat tuanku, sangat dalam maksud lukisan ini. Pelukis yang hebat,” jelasnya.-KOSMO!ONLINE