PASIR MAS – Taktik licik seorang pengedar dadah warga Thailand yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menyembunyikan 36,000 biji pil kuda di dalam beg plastik mengandungi selimut terbongkar semasa dia dicekup polis di Lubok Gong, Rantau Panjang semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, penangkapan lelaki itu dilakukan menerusi Ops Tapis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan pada pukul 6.30 petang.
Menurutnya, anggota melihat seorang lelaki sedang berdiri dalam keadaan mencurigakan di tepi sebuah masjid dengan memegang satu beg plastik.
“Anggota bertugas kemudian telah bertindak menghampiri lelaki berkenaan sebelum suspek cuba melarikan diri namun, berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.
“Pemeriksaan ke atas beg plastik yang berisi selimut itu telah menjumpai sebanyak 36,000 biji pil kuda yang bernilai RM360,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, selepas soal siasat, suspek mengaku kesemua dadah yang dijumpai adalah miliknya dan mendapat bekalan dadah daripada seorang lelaki Thailand dikenali sebagai Abe.
Menurutnya, lelaki itu juga memaklumkan bahawa dia mendapat bekalan dadah-dadah itu di Narathiwat, Thailand pada pukul 5.30 petang semalam.
Tambahnya, kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE