PASIR PUTEH – Seramai sembilan orang pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk dua wanita dan seorang tekong yang melarikan diri selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki mereka dikejar polis dari Pasir Mas sehingga ke Jeram Linang di sini akhirnya ditahan semalam.
Kesemua PATI berusia 15 hingga 43 tahun bersama lelaki warga tempatan itu diberkas semasa mereka bersembunyi di dalam hutan Felcra Teratak Batu di sini kira-kira pukul 8 pagi hingga 1 petang.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, polis terus menjalankan operasi mengesan kesemua suspek selepas mereka melarikan diri ketika sebuah MPV jenis Proton Exora ditahan kawasan kebun kelapa sawit di Jeram Linang di sini.
Menurutnya, operasi selama lima jam itu dijalankan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan IPK Terengganu.
“Kejayaan menangkap kesemua PATI dan tekong yang melarikan diri itu turut dibantu oleh penduduk setempat terutamanya pekebun sawit di kawasan tersebut.
“Ujian saringan air kencing terhadap tekong yang juga berperanan sebagai pemandu MPV itu mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tambah Zaizul Rizal, kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.
Kosmo! Online semalam melaporkan, polis mengambil masa selama satu jam setengah untuk mengejar sebuah MPV jenis Proton Exora yang membawa seramai 13 orang PATI warga Myanmar yang memecut laju dari Pasir Mas ke Pasir Puteh.
Ketika MPV itu ditahan, hanya empat PATI termasuk seorang wanita berjaya ditahan manakala pemandunya dan sembilan lagi penumpang sempat melarikan diri. – KOSMO! ONLINE.